Wednesday, August 4, 2010

AhLaN Ya RaMaDHan al-Mubarak!

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pada tahun ini kita masih lagi diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa. Seperti biasa kedatangan bulan Ramadhan al-mubarak ini amat dinanti-nantikan oleh semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Percaya atau tidak, bahangnya mulai terasa sejak kemunculan bulan Syaaban yang disarankan kita memperbanyakkan ibadah sebagai persediaan awal untuk menyambut bulan puasa.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Takrif puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:

1.Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.

2.Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.

3.Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan

Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Namun, soalan yang sentiasa berlegar-legar di CPU minda saya ialah 'Kita sebenarnya menanti-nantikan kedatangan Ramadhan atau Syawal?' lantaran itu, saya tersenyum sendirian sambil membetulkan niat. Kedua-dua bulan ini mempunyai kelebihan. Sebagai umat Islam kita diwajibkan menjalani ibadah ini sepertimana yang diperintahkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah:

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa" (Surah Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."


"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. ( Dengan ketetapan yang demikian itu ) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa ( sebulan Ramadan ), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur" (Surah al-Baqarah: 185)


Sebagai Pencipta manusia, jasad dan roh, Allah pasti lebih tahu apa yang baik untuk manusia. Kewajipan puasa tidak hanya bertujuan merawat jiwa manusia dalam ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah tetapi juga sebagai terapi tahunan untuk tubuh manusia. Ini jelas dilihat dalam surah al-Baqarah ayat 184 bermaksud: Berpuasa itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.


Pada kurun ke-19, Zeland, seorang pakar perubatan Rusia, mengumumkan bahawa puasa memberi kesan positif kepada urat saraf, sistem penghadaman dan darah. Katanya lagi, puasa memberikan masa yang cukup untuk tubuh berehat, di samping beroleh kekuatan baru.

Sebenarnya hakikat puasa sebagai terapi melawan penyakit bukan sesuatu yang baru. Rasulullah yang hidup pada zaman gelap sains, mengakui bahawa puasa adalah senjata untuk melawan penyakit. Sabda baginda,"Puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri". (riwayat Imam Ahmad)

Pakar-pakar moden kini mengesahkan bahawa setiap orang perlu berpuasa, sama ada orang itu sihat, apatah lagi jika sakit. Pelbagai racun memasuki tubuh sepanjang hidup kita, melalui makanan dan minuman moden yang tidak sihat dan sarat dengan bahan kimia dan udara yang tercemar.

Tubuh tidak mampu menyingkirkan semua racun ini dan menyebabkan manusia semakin lemah.Puasa dapat memberi ruang dan kesempatan untuk sel-sel tubuh membersihkan diri mereka daripada racun-racun ini dengan lebih berkesan. Berbeza dengan amalan diet biasa, kaedah puasa Ramadan adalah yang terbaik kerana dilakukan dengan sistematik setiap tahun.

Walaupun keberkesanan terapi puasa terhadap tubuh telah diakui tetapi perkara paling menakjubkan ialah kemampuannya untuk merawat masalah psikologi yang kritikal. Puasa memberi masa untuk sel-sel otak berehat dan pada masa sama, bertindak membersihkan sel-sel darah daripada toksik. Darah bersih yang memasuki otak ini akan turut sama membersihkannya.

Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan nikmat Ramadan ini. Kita berpuasa kerana Allah, begitu juga dengan semua ibadat lain. Kerana ketaatan ini, kita menerima kebaikan di dunia dan di akhirat berupa kesihatan yang baik. Sedangkan pada masa yang sama orang bukan Islam berhempas pulas mengkaji tentang puasa, nikmat yang telah lama kita kecapi.



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

No comments:

Post a Comment